PUTRAJAYA, MEI 31:GAJI DISEMAK…Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan gaji dan elaun pengerusi badan berkanun, suruhanjaya dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disemak semula.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa pada mesyuarat Kabinet semalam.

Beliau berkata, arahan itu susulan isu gaji dan elaun Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang mencecah RM85,000 yang dibangkitkan beliau pada mesyuarat berkenaan.

Katanya, MAVCOM adalah badan yang beroperasi atas dana sendiri (self-funded) dan hanya menerima geran awal daripada kerajaan sebanyak RM90 juta bagi tempoh satu tengah hingga dua tahun, tanpa tambahan selepas itu.

“Gaji Pengerusi Eksekutif MAVCOM ketika suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2016 adalah RM78,300 sebulan, kemudian diberi kenaikan tiga peratus pada 2017 dan lima peratus pada 2018, kepada RM85,000 sebulan,” katanya pada sidang media di sini.

Siew Fook berkata demikian ketika mengulas dakwaan gaji Pengerusi Eksekutif MAVCOM melebihi RM80,000 sebulan.

Menurutnya, buat masa, MAVCOM akan dikekalkan, namun ia tetap tertakluk kepada semakan semula.-MY WD