KEMAMAN, 22 Dis – Sebanyak 9,282 kit makanan permulaan banjir
untuk penduduk terjejas bencana itu telah diagihkan di seluruh Terengganu
setakat ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek daripada jumlah itu, sebanyak 6,996 kit makanan diagihkan untuk daerah
Kemaman, Setiu (700), Dungun (686), Hulu Terengganu (600) dan Besut (300).

“Kit makanan kepada mangsa banjir yang telah diagihkan kepada pengkalan
hadapan ini adalah hasil komitmen tinggi daripada pelbagai pihak.

“Walaupun ia nampak mudah, namun prosesnya dari awal penyediaan, menyusun,
membungkus dan pengagihan nanti perlu dilakukan dengan teliti agar tiada satu
pun mangsa banjir tertinggal daripada menerimanya nanti.

“Di sini juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang
telah bertungkus lumus dalam memastikan kit makanan ini dapat disediakan dengan
sempurna mengikut masa yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan program penyerahan kit makanan permulaan banjir di Kompleks Rakan
Muda di Jalan Mak Lagam malam tadi.

Sebanyak 100,000 kit makanan disediakan di seluruh negara dan kementerian
menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 14,000 unit kit makanan di seluruh
Terengganu dan jumlahnya bergantung kepada keperluan semasa yang akan dinilai
oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman berkata
pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan pusat yang telah memberi
pengiktirafan tinggi terhadap pengurusan bencana di Kemaman seterusnya
menyediakan peruntukan untuk kit makanan tersebut.

Katanya, setiap kit makanan berharga lingkungan RM60 hingga RM70 itu terdiri
daripada makanan kering yang dikeluarkan oleh usahawan tempatan.

“Mengikut prosedur dalam pengurusan banjir, Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (FAMA) akan berada di barisan hadapan untuk memastikan kit makanan
ini mencukupi di setiap pusat pemindahan banjir dengan kadar yang segera.

“Bahkan, tidak hanya banjir, kit makanan ini juga akan disediakan oleh FAMA
untuk mangsa bencana lain yang berlaku dalam negara sebagai tindakan awal untuk
memastikan kebajikan mangsa terbela,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY