Kit Siang tidak senang dengan Najib

Kit Siang tidak senang dengan Najib

241
0

KUALA LUMPUR, JAN 15: PERTIKAI DUIT… Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak senang apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaitkan pemberian duit minyak oleh jentera Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands sebagai rasuah.

Najib membangkitkan perkara itu melalui kenyataan dalam laman Facebook beliau semalam dengan berkongsi petikan laporan berita pada 30 November lalu ketika Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Cameron Highlands semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berdasarkan petikan berita itu, Najib melihat pemberian wang minyak tersebut boleh dianggap sebagai rasuah jika mengikut pendapat Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Azizah Nawawi sewaktu membatalkan kemenangan calon BN.

Keadaan itu menyebabkan Kit Siang menuduh Najib telah bertindak salah apabila mendakwa Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan pemberian wang petrol RM20 itu sebagai rasuah.

Beliau sebaliknya mempersoalkan apakah motif Najib berhubung dakwaan tersebut selain seolah-olah memperlekehkan bekas Perdana Menteri itu yang dianggapnya mungkin tidak memahami keputusan penghakiman.

“Secara sengaja atau sebaliknya, Najib membuat kesilapan dan memutarbelitkan mengenai penghakiman yang membatalkan keputusan PRU-14 Parlimen Cameron Highlands dengan dakwaan hakim berkata duit sama ada ‘duit rokok’ atau ‘duit minyak’ dianggap rasuah.

“Beliau (Azizah) tidak membuat keputusan seperti itu,” tegas Kit Siang dalam blognya dengan berkongsi secara terperinci keputusan kehakiman yang dibuat pada November lalu.

Menerusi kenyataan semalam, Najib melahirkan rasa pelik terhadap apa yang berlaku dalam Malaysia baharu.

“Kit Siang telah mengaku duit minyak diberi kepada Orang Asli yang juga pengundi di Cameron Highlands, tetapi ini tidak salah. PH kata tidak salah. Calon DAP kata ini tidak salah.

“Bersih tanya mana ada salah? Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga kata tidak ada kuasa untuk menyiasat. Tetapi hakim kata, tidak kira pemberian itu dalam bentuk duit minyak atau duit rokok, ia tetap rasuah,” katanya.

Tambahnya, begitulah pendapat hakim pada bulan November tahun lepas apabila mengumumkan keputusan mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon BN.

“Pelik Malaysia baharu ini. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya, DAP berpeluang untuk menambah jumlah kerusi Parlimen dan memperluaskan pengaruh mereka di kerajaan.-MY WD