KUALA LUMPUR, 25 Nov — PERBARISAN…. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sekali lagi akan diberi mandat dan penghormatan untuk mengetuai perbarisan kehormat pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 pada 7 Dis, kata Setiausaha Kerja parti Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

Beliau berkata seperti perhimpunan pada tahun-tahun sebelum ini, kesemua acara di dalam dewan iaitu perhimpunan agung dan perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dikekalkan.

“Acara dalam dewan semua sama. Ketua Pemuda diberi penghormatan uruskan perbarisan kehormat yang akan disertai 50 perwakilan daripada setiap sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri,” katanya ketika ditemui media.

Ab Rauf hari ini menyaksikan raptai pertama acara perasmian perhimpunan tahunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada perhimpunan agung parti 2016, Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, diberi penghormatan mengetuai acara perbarisan sebagai penghargaan atas pertauliahan pangkat Brigadier Jeneral yang beliau terima dalam pasukan Askar Wataniah.

Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau dan Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, dinaikkan pangkat daripada Kolonel kepada Brigadier Jeneral, berkuat kuasa 14 Jan 2015.

Mengenai persiapan menjelang perhimpunan yang akan berlangsung mulai 5 Dis dan berakhir 9 Dis, Ab Rauf berkata ia masih peringkat awal iaitu sekitar 25 peratus, namun dijangka siap sepenuhnya pada 2 Dis.

Bagi tujuan pendaftaran anggota perwakilan, beliau berkata pendaftaran untuk semua perwakilan, termasuk sayap-sayap, hanya dibuat sekali sahaja iaitu pada 4 Dis berbanding sebelum ini yang menyaksikan pendaftaran berasingan bagi anggota sayap dan perhimpunan agung UMNO.

“Semua setiausaha perhubungan dan setiausaha negeri sudah dimaklumkan. Melalui pendekatan ini kita dapat menjimatkan masa dan kos,” katanya. – WD MY