KUALA LUMPUR, APRIL 20:CALON… Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpuas hati dengan bilangan calon muda yang sudah terpilih untuk bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun beliau menjelaskan ketika ini masih terdapat beberapa lagi nama yang sedang dirundingkan untuk disenaraikan sebagai calon.

“Sekarang ini dalam peringkat terakhir walaupun ramai sudah diputuskan. Tapi saya sedang usahakan supaya ada beberapa nama lagi dapat dimasukkan.

“Setakat ni saya puas hati. Masih ada lagi nama yang masih belum ditentukan dan saya sudah adakan perjumpaan dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu untuk pastikan beberapa nama ini dapat kita selesaikan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di sini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO memberitahu semua kerusi yang akan ditandingi calon muda ini cukup mencabar.

“Ada juga yang mencabar dan ada yang kurang mencabar,” katanya sambil memaklumkan beliau akan berusaha untuk memastikan supaya nama yang masih tercicir ini dapat dimasukkan sebagai calon.

“Saya sudah bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa kali dan setakat ini mereka sudah cukup bersabar.

“Walaupun kini sudah terlambat tetapi saya masih berusaha untuk berjuang sehingga saat terakhir supaya nama mereka boleh berada di dalam (senarai calon),” katanya.

Sebelum ini, pemuda UMNO dan BN menuntut lebih 40 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan kepada calon orang muda pada PRU akan datang.

Tuntutan itu dilihat seiring dengan pandangan UMNO sebagai parti masa depan yang menerajui BN.

Mengulas masalah yang membelenggu MyPPP, Khairy yakin ia akan dapat diselesaikan dengan semangat BN.

“MyPPP, walaupun satu parti yang kecil tetapi ia sebuah parti yang penting bagi kita dalam BN. Saya amat hargai peranan MyPPP, jadi saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.- MY WD