REMBAU, DISDEMBER 25: SINDIR…Sudah enam minggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan cukai petrol sejak kejatuhan harga minyak mentah dunia, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun kata Khairy, rakyat tidak boleh merungut kerana PH dalam manifesto pilihan rayanya hanya berjanji ‘menstabilkan’ harga minyak dan bukan menurunkan harga bahan api itu.

“Seperti yang kita maklum, harga RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter dari Mei sehingga akhir tahun ini.

“Rupa-rupanya, sudah enam minggu kerajaan PH kenakan cukai ke atas jualan petrol. Apa maksud saya? Maksud saya sudah 6 minggu rakyat membayar lebih dari harga pasaran.

“Tetapi rakyat tak boleh “mengomel” sebab ingat, janji pilihan raya bukan turun harga minyak tapi menstabilkan harga minyak,” katanya dalam satu hantaran di media sosial Facebooknya pagi ini.

Secara menyindir, Khairy mengucapkan tahniah kepada PH kerana berjaya menstabilkan harga RON 95.

“Syukur dapat kerajaan yang mengutamakan rakyat. Ini mestilah sebab kerajaan PH ini menyediakan subsidi yang besar untuk memastikan harga minyak tidak naik, bukan seperti zaman Barisan Nasional (BN)!” sindirnya.

Sabtu lalu, bekas perdana menteri Najib Razak secara sinis mendakwa rakyat kini telah dikenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas RON 95.

Najib berkata, harga petrol RON 95 sepatutnya antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga RM2.20 sekarang.

Kata Najib ia berdasarkan harga brent semasa iaitu pada sekitar AS$52 satu tong.

Nada sama juga disuarakan Rafizi Ramli semalam yang menggesa kerajaan PH melaksanakan sistem apungan minyak secara mingguan seperti dilaksanakan BN sebelum ini.

Jelas Rafizi, pelaksanaan sistem itu membolehkan harga RON 95 diturunkan sebanyak 20 sen untuk beberapa minggu akan datang berdasarkan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

‘Rafizi juga setuju kaedah mingguan’

Dalam pada itu Khairy yang turut membuat pengiraan mengenai harga minyak bersetuju dengan pendapat Rafizi mengenai apungan harga petrol secara mingguan yang lebih telus berbanding kaedah sekarang.-MY WD