PUTRAJAYA, 8 Sept – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin percaya dan yakin
tiada pemimpin kanan parti akan dipecat daripada parti pada mesyuarat Majlis Tertinggi
UMNO esok.

“Saya 100 peratus yakin tiada pemimpin kanan parti akan dipecat esok,”
katanya kepada media hari ini ketika ditanya mengenai khabar angin
kononnya timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal dakan dipecat daripada parti pada mesyuarat itu.

Mengulas mengenai agenda mesyuarat Majlis Tertinggi itu, Khairy yang juga
Menteri Belia dan Sukan, berkata mesyuarat dijadual membincangkan tarikh
Perhimpunan Agung UMNO dan perkara melibatkan pentadbiran parti.

“Ini memandangkan tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi selama tiga bulan
jadi ada beberapa perkara pentadbiran yang perlu diselesaikan. Pasti akan ada
perbincangan berkaitan isu-isu politik semasa,” katanya.

Mengenai mesyuarat Biro Politik UMNO di Perdana Putra semalam, beliau
berkata mesyuarat itu berlangsung dalam suasana amat kondusif.

“Sudah tentu kami semua perlu bercakap di antara satu sama lain,” kata
Khairy semasa ditanya sama ada interaksi adalah baik pada mesyuarat itu.

Muhyiddin dan Mohd Shafie, yang digugurkan daripada Kabinet dalam rombakan
Kabinet pada 28 Julai, antara yang hadir pada mesyuarat itu.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY