KUALA LUMPUR, OKTOBER 15: PEMBATALAN…Kerajaan dan polis akan memohon untuk membatalkan tuntutan sivil Umno terhadap RM116.7 juta yang dirampas ketika serbuan di hartanah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak beberapa bulan lalu.

Menurut peguam persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, antara sebab bagi permohonan pembatalan itu adalah isu locus standi.

“Kami akan memfailkan permohonan untuk pembatalan dan penangguhan prosiding sebelum pengurusan kes seterusnya, yang telah ditetapkan pada 1 November,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom hari ini.

Peguam Umno Datuk Hariharan Tara Singh berkata pihaknya juga memfailkan permohonan penemuan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh untuk barangan yang dirampas ketika serbuan bulan Jun itu.

“Kerajaan dan polis juga memfailkan permohonan penangguhan, sekali dengan pemfailan pembelaan mereka.

“Kami akan membantah permohonan itu dan juga permohonan pembatalan mereka,” kata Hariharan.

Tuntutan itu difailkan pada 24 September lalu oleh Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh.

Selain Amar, Rauf turut menamakan pegawai polis R Rajagopal dan Mohd Sakri Ariffin, Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.-MY WD