KUALA LUMPUR, DISEMBER 10: AHLI PARLIMEN…Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk merujuk pakar undang-undang berhubung status anggota parlimen Cameron Highlands, C Sivarraajh dialu-alukan, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam nada menyindir, Zahid berkata keputusan Mohamad Ariff Md Yusof itu jelas menunjukkan kerajaan tidak boleh memberi sebarang alasan untuk mengenepikan hak anggota parlimen berkenaan untuk berada dalam dewan.

“Pembangkang mengalu-alukan keputusan Speaker yang merujuk kepada pendapat pakar undang-undang, peguam merujuk ahli Parlimen Cameron Highlands serta keputusan bertulis daripada hakim Mahkamah Pilihan Raya.

“Maka jelas bahawa apa juga alasan diberikan pihak kerajaan ialah menafikan keputusan yang telah dipilih rakyat kerana rakyat memilih ahli Parlimen Cameron Highlands dan ahli Parlimen BN yang lain.

“Saya harap ia menjadi panduan kepada semua dan jangan terlalu mengikut emosi dalam melakukan sesuatu keputusan. Sila rujuk kepada butiran dalam sistem perundangan yang ada sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada 6 Disember, kekecohan tercetus di Dewan Rakyat apabila anggota parlimen pembangkang menggesa Ariff untuk menarik semula keputusan beliau tidak membenarkan Sivaraajh berasa di dalam Dewan dan memohon maaf.

Kekecohan yang berlanjutan sehingga 30 minit itu menyebabkan anggota Parlimen Barisan Nasional membuat bantahan dengan bertindak keluar dari Dewan 10 minit sebelum waktu rehat.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, Pahang dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula.

Hakim Azizah Nawawi berkata calon DAP M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan kepada Sivaraajh yang juga adalah naib presiden MIC.-MY WD