ALOR SETAR, APRIL 20 – PERUNTUKAN.. ..Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM271.6 juta juta bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara tahun ini di mana ia membabitkan 1,064 dibina rumah baharu dan 9,771 rumah dibaik pulih.

Daripada jumlah itu, 34 rumah baharu dibina dan 608 baik pulih membabitkan 3,120 penerima faedah di Kedah dengan peruntukan RM9.808 juta.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tahun lalu kerajaan meluluskan peruntukan RM333.1 juta untuk projek PPRT di seluruh negara membabitkan pembinaan rumah baru sebanyak 1,628, manakala baik pulih membabitkan 11,649 rumah yang memberi faedah kepada 66,385.

“Untuk Kedah saja 90 rumah baharu dibina dan 500 dibaik pulih membabitkan 3,000 penerima faedah tahun lalu,” katanya selepas lawatan kerja di Parlimen Alor Setar, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Katanya, pemilihan untuk projek PPRT membabitkan dua kumpulan sasar yang diproses oleh pejabat daerah berdasarkan nama yang dihantar oleh ketua di peringkat cawangan.

“Bagi kes kecemasan seperti kebakaran, permohonan tidak perlu melalui kumpulan fokus sebaliknya boleh disalurkan terus ke KKLW untuk dibina baharu atau baik pulih,” katanya.

Beliau turut melawat dua rumah penduduk di Kampung Seberang Pantai Johor dan Alor Merah yang menerima peruntukan baik pulih melalui PPRT masing-masing bernilai RM10,356 dan RM12,767.

Warga emas, Hashim Man, 86, dari Kampung Seberang, Pantai Johor, bersyukur kerana rumahnya yang berusia 55 tahun akhirnya dibaik pulih minggu lepas.

“Sebelum ini rumah saya mengalami bocor di bumbung dan dinding makin mereput. Jika hujan terpaksa tadah dengan bekas. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu saya,” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Nor Madiah Alias, 60, dari Alor Merah menerima bantuan membaik pulih bumbung rumahnya yang bocor dan mengganti semula sistem pendawaian di dalam rumahnya yang sudah usang.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana saya kini dapat tinggal di dalam rumah yang lebih selesa bersama tiga anak,” katanya.

Sebelum itu, Ismail Sabri hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Luar Bandar dari Simpang Pokok Machang ke Kuala Sin, di Bukit Selambau, Sungai Petani.

KKLW memperuntukkan RM547.9 juta bagi melaksanakan 127 projek pembangunan luar bandar di Kedah sejak 2016 hingga kini.

Antara projek yang mendapat peruntukkan terbesar adalah lima projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang bernilai RM135 juta dan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sebanyak RM50.7 juta.

Kerajaan turut meluluskan projek pembinaan jalan dan jambatan baharu Alor Ganu/Alor Madi/Titi Gajah di Kotar Setar (RM40 juta), jalan dari Kampung Sungai Batu/Kampung Sungai Pasir/Ladang Dublin di daerah Bandar Baharu (RM40 juta) dan membina baru jambatan kayu di Kampung Pantai Prai, Mukim Sidam Kiri di Kuala Muda (RM 2 juta).

KKLW turut melaksanakan 25 projek BALB yang dilaksanakan secara sebut harga bernilai kira-kira RM7.2 juta bertujuan mempercepatkan penyambungan paip retikulasi bagi capaian pengguna kepada bekalan air bersih.-MY WD