KUALA LUMPUR, 27 Mei – Batal….. Pihak Kementerian Kesihatan membatalkan status notifikasi tujuh produk kosmetik selepas dikesan mengandungi bahan racun.

Tujuh produk itu ialah Night Glowing, Night Glow, Glowing Speed Gold Day Cream, Glowing Speed Gold Night Cream, Qu Gebu AP Krim, Nour Ain Night Cream dan Royal Expert Whitening Cream.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Night Glow dan Qu Gebu AP Krim yang disahkan mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu didaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Katanya, produk kosmetik yang dicampur dengan bahan berkenaan akan menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, ketidakselesaan dan hipersensitif.

“Bagi lima lagi produk itu, ia mengandungi raksa yang boleh memudaratkan kesihatan kerana ia dibimbangi menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada raksa boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi raksa yang disapu pada kulit meruap dan dihidu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan diberi amaran keras untuk menghentikan aktiviti mereka berikutan ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – WD MY