PUTRAJAYA, 3 Mei – Haramkan…. Pihak Kementerian Kesihatan mengharamkan rawatan terapi ozon di semua pusat kecantikan dan klinik kerana ia boleh menyebabkan komplikasi perubatan sehingga menyebabkan kematian kata┬áMenteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Subramaniam berkata penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS) mendapati tiada sebarang manfaat diperoleh pesakit yang menjalani rawatan berkenaan, sebaliknya ia hanya membahayakan nyawa pengguna.

Katanya, segala kelengkapan seperti mesin yang digunakan untuk rawatan itu juga tidak didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Peranti Perubatan.

“Saya beri tempoh sehingga 1 Julai ini kepada semua pembuat, pengimport atau yang meletakan mesin berkenaan di dalam pasaran untuk menarik balik mesin berkenaan.

“Kegagalan untuk mematuhi ketetapan ini boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang dan didenda sehingga RM200,000 atau penjara tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata, mereka yang menerima rawatan berkenaan berisiko untuk mengalami pendarahan kerana menggunakan heparin iaitu ubat untuk mencairkan darah.

“Selain itu, mereka juga akan mengalami embolism atau penyekatan salur darah oleh gelembung udara, jangkitan kuman dari alatan yang tidak disteril serta hilang upaya kekal akibat kegagalan organ seperti buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan awatan terapi ozon boleh melambatkan penuaan, meningkatkan tenaga dan memutihkan kulit adalah tidak benar. – WD MY