KUALA LUMPUR, 26 Dis – Kementerian Kesihatan menetapkan beberapa
syarat dalam membenarkan pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar
untuk membungkus dan menyediakan makanan dan kegagalan mematuhi syarat itu bakal
berdepan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua tahun.

Kementerian mengambil maklum bahawa masih terdapat pengendali makanan
menggunakan kertas surat khabar yang bersentuhan secara langsung dengan makanan
sedia dimakan seperti untuk membungkus makanan, menutup makanan atau untuk
menyerap minyak daripada makanan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara
syarat ditetapkan termasuk hanya membenarkan surat khabar digunakan sebagai
lapisan kedua untuk membungkus makanan yang sedia dimakan dan tidak bersentuhan
secara langsung dengan makanan.

“Bahan pembungkus seperti plastik (lutsinar) atau daun pisang hendaklah
digunakan sebagai lapisan pertama yang melindungi sepenuhnya makanan tersebut
daripada bersentuhan secara langsung dengan kertas surat khabar,” katanya dalam
kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pembungkusan makanan sedia dimakan dengan surat khabar
sebagai lapisan kedua juga hendaklah dikendalikan dengan kaedah yang dapat
mengelakkan pencemaran dakwat daripada kertas surat khabar kepada makanan
tersebut melalui apa jua cara.

“Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan pengendali makanan yang
telah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiannya menyentuh
makanan sedia dimakan secara langsung,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kertas surat khabar hendaklah tidak digunakan
bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk menutup
makanan atau menyerap minyak daripada makanan bergoreng. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY