RANAU, 7 Julai – Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mencadangkan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) membina penempatan sementara untuk penghuni
kediaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang terjejas akibat gempa bumi
pada 5 Jun lepas.

Menurut beliau, penempatan sementara itu adalah satu keperluan bagi
menempatkan penghuni terutama di dua blok yang terjejas teruk akibat gempa
berukuran 5.9 skala Richter, sementara kerja membaik pulih dan mengukuhkan
semula bangunan berkenaan disiapkan sepenuhnya.

“Kajian pakar mendapati perlu baik pulih, dan dalam masa sama mengukuhkan
bangunan tersebut. Antara cadangan mereka, kaedah retrofit dibina pada bangunan
itu supaya ia kukuh dan tahan gegaran pada masa akan datang,” katanya.

Fadillah ditemui media ketika membuat lawatan kerja ke IPD Ranau di sini.

Sehubungan itu, Fadillah berkata penempatan sementara itu adalah langkah
yang perlu diambil bagi membantu menempatkan warga polis di kawasan yang selesa
memandangkan ada yang masih tinggal di khemah kerana trauma dengan kejadian
gempa bumi itu.

Menurutnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin, yang
juga anggota Parlimen Ranau akan berbincang dengan polis di daerah ini
mengenai tapak yang bersesuaian untuk dibina penempatan sementara itu.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY