KUALA LUMPUR, 21 Mei – Berikut merupakan kenyataan media oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung strategi tumpuan RMK-11 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

1. Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak di Parlimen hari ini merupakan satu lagi bukti komitmen dan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam merangka perancangan pembangunan Negara yang bukan sahaja strategik malah memenuhi aspirasi rakyat.

2. RMK-11 ini lebih menjurus kepada “pertumbuhan berpaksikan rakyat” serta dilihat sebagai pusingan akhir (final lap) perancangan 5 tahun kerajaan sebelum kita mencapai status negara maju seperti mana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.

3. Dalam pembentangan tersebut, terdapat 6 strategi tumpuan dalam RMK-11 dan starategi ke 5 iaitu pembangunan infrastuktur menjadi tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku peneraju sektor pembinaan Negara.

4. Terdapat 5 projek utama di bawah seliaan KKR dibentangkan YAB. Perdana Menteri pada hari ini iaitu Projek Lebuhraya Pan Borneo, Projek Central Spine Road (CSR), Lebuhraya Kota Bahru-Kuala Krai, Projek Lebuh Raya Pantai Barat dan pembinaan rangkaian jalan di dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang. Lantaran itu, kementerian akan memastikan projek-projek ini akan dilaksanakan mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan.

5. Kelima-lima projek ini merupakan projek pembinaan akses yang terbesar dalam RMK-11 serta dijangka akan memberi impak yang positif kepada rakyat seterusnya membuka ruang dan peluang ekonomi kepada rakyat sehinggalah kepada pemain industri pembinaan.

6. Sektor pembinaan merupakan sektor yang sangat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara. Ini dapat dilihat dari aspek peningkatan permintaan terhadap infrastuktur moden dan cekap setiap tahun dan ini menggambarkan persekitaran yang selari dengan matlamat ke arah Negara maju.

7. Dalam konteks meningkatkan kemampanan dalam sektor pembinaan, KKR dan juga Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah menggerakkan rangka dasar penggunaan dan pengeluaran mapan yang menjadi asas dalam RMK-11.

8. Ini bertujuan untuk mengukuhkan dasar sedia ada, mengurangkan penggunaan sumber asli, mengurangkan pengeluaran asap, bahan buangan dan pencemaran lain sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan. Di bawah kerangka dasar ini, industri pembinaan akan menjadi sektor utama yang akan diketengahkan.

9. Kementerian juga akan memastikan bangunan baharu kerajaan akan menerapkan ciri dan reka bentuk hijau serta menggunakan bahan binaan yang mesra alam berdasarkan Skim Penarafan Hijau Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala bangunan sedia ada akan diretrofit secara berperingkat. Ia salah satu fokus baru yang akan turut menyumbang ke arah menjamin daya tahan bangunan daripada ancaman perubahan iklim serta cuaca ekstrim.

10. KKR amat komited untuk terus melaksanakan dan memperkukuh dasar sedia ada untuk terus memartabatkan industri pembinaan serta berdaya saing di peringkat global. Kementerian percaya industri pembinaan Negara akan terus berkembang dan strategi tumpuan utama RMK-11 ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur berimpak tinggi.
-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY