ALOR GAJAH, 2 Okt – JAMBATAN…. Pihak Kementerian Kerja Raya memperuntukkan sejumlah kira-kira RM88 juta bagi membaik pulih 21 jambatan di seluruh negara yang dikenal pasti berisiko untuk pengguna jalan raya.

Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata daripada jumlah itu, lima daripada jambatan terbabit sudah ditutup secara berperingkat-peringkat sejak sebulan lalu.

Katanya, ia berikutan kemudahan berkenaan tidak lagi selamat untuk digunakan disebabkan faktor usia, struktur tidak kukuh, selain laluan kenderaan berat yang membawa muatan yang semakin banyak.

“Antara jambatan yang sudah ditutup kerana tidak selamat untuk laluan pengguna membabitkan empat di Selangor, antaranya Jambatan Buloh di Kuala Selangor, Jambatan Sungai Rambai Besar dan Jambatan Sungai Rambai Kecil di Banting, manakala di Perak pula, Jambatan Sultan Yusof di Teluk Intan.

“Pihak kementerian perlu mengambil tindakan segera bagi menggantikan jambatan yang dikenal pasti kritikal di seluruh negara dan kaedah pembinaan yang baharu akan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) 2017 di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fadilah berkata, dua projek persimpangan bertingkat di Melaka, masing-masing di Ayer Keroh dan Peringgit berjumlah RM286 juta yang sedang dibina dijadualkan semula siap pada Jun tahun depan.

“Masalah yang timbul di Peringgit disebabkan syarikat kontraktor terlepas pandang meneliti jumlah sebenar utiliti menyebabkan projek di situ terjejas sehingga menyebabkan tempoh siap terpaksa dilanjutkan.

“Kita perlu berunding dengan pihak berkuasa tempatan bagi pengambilan tanah tambahan, selain penambahan kos pengalihan utiliti,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Roslan Md Taha. – WD MY