KUALA LUMPUR, 21 Julai – Grand Prix Bandaraya KL dari 7 hingga 9
Ogos ini bakal menyaksikan pelumba memecut di litar sementara Gred 3 sejauh
3.2km membabitkan beberapa jalan utama seperti Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang,
Jalan Sultan Ismail and Jalan Pinang.

Menurut penganjur GT Global Race (Malaysia) Sdn Bhd, para pemandu akan
berlumba di litar jalanan Kuala Lumpur dengan anggaran kelajuan 200 kilometer
sejam untuk memburu kejuaraan.

Litar itu mempunyai 16 selekoh, 10 ke kanan dan enam ke kiri bagi memberi
cabaran kepada teknik pemanduan. Perlumbaan itu dijangka menarik 150,000 peminat
sukan permotoran.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden GT Global Race (Malaysia) Sdn Bhd,
M.Arrasu, reka bentuk litar itu mendapat kelulusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA)
dan kini hanya menunggu untuk disiapkan menjelang akhir bulan ini.

Litar jalanan itu yang kedua selepas Putrajaya, akan meletakkan ibu negara
sebagai salah satu litar utama sukan permotoran membabitkan kereta GT dan V8.

Lesen FIA merangkumi Gred 1 hingga 6 dengan Gred 1 menjadi kelas utama untuk
perlumbaan Formula Satu.

Arrasu berkata litar itu direka Apex Circuit Design Ltd., sebuah syarikat
perunding antarabangsa bagi rekaan litar dan kemudahan automatif. Pembinaannya
pula dibuat pakar terkemuka dunia untuk litar sementara, KBR.

“Penyediaan litar untuk perlumbaan tiga hari itu sudah siap 85 peratus.
Malah laluan di litar itu juga dibuat khusus bagi mendapatkan cengkaman tayar
yang lebih baik, sekali gus memastikan keselamatan pelumba,” katanya.

Arrasu berkata reka bentuk litar melibatkan elemen selekoh tajam, laluan
lurus dan kawasan perubahan ketinggian jalan bagi memberi cabaran kepada
pelumba.

Litar itu juga direka untuk menonjolkan lokasi tumpuan di bandar raya
termasuk kawasan permulaan dan penamat di perkarangan Menara Berkembar Petronas.

Perlumbaan itu membabitkan acara kereta GT seperti Piala Super Lamborghini,
Formula Masters, Piala Porsche Carrera and Piala Audi R8 LMS selain demonstrasi
lima kereta terbaik siri super V8. – Faizal Dato Badarudin, Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY