KUALA LUMPUR, 12 Julai – Bakal Rawat Hampir 4,000 pesakit….Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di Jalan
Fletcher yang kini hampir siap dibina merupakan satu-satunya klinik
kerajaan terbesar yang mampu merawat sehingga 4,000 pesakit sehari.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Titiwangsa, Dr Mahanim Md Yusof, ia dibina
dengan reka bentuk ‘Super Type 1 Clinic’ yang mempunyai kemudahan infrastruktur
yang besar serta perkhidmatan kepakaran keluarga lebih ramai.

Ia akan turut menempatkan Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur
(JPLHKL).

Dibina dengan kos kira-kira RM50 juta sejak 2014 di kawasan berkeluasan 1.3
hektar, ia merupakan klinik kesihatan ke-17 di bawah seliaan Jabatan Kesihatan
Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata perkhidmatan yang disediakan di klinik
itu adalah sama seperti perkhidmatan asas yang terdapat di klinik kesihatan lain
iaitu perkhidmatan pesakit luar, pergigian, kesihatan ibu dan anak, kesihatan
sekolah dan farmasi.

“Kesemua perkhidmatan ini diketuai Pakar Perubatan Keluarga. Perkhidmatan
tambahannya pula ialah x-ray, makmal, pakar pemakanan dan zat makanan serta
rehabilitasi,” kata Dr Mahanim.

Beliau berkata untuk keselesaan orang ramai yang datang bagi mendapatkan
rawatan, turut disediakan kafetaria, kedai serbaguna, pusat sumber diabetes,
surau dan taman permainan kanak-kanak.

“Pembinaan klinik ini adalah selaras dengan perancangan Kementerian
Kesihatan untuk membina sebuah klinik bagi setiap daerah supaya penduduk tidak
perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.

Klinik ini akan memberi khidmat rawatan bagi penduduk sekitar Zon Parlimen
Titiwangsa dan Zon Parlimen Setiawangsa.

Beliau menganggarkan jumlah pesakit yang mampu diterima klinik ini melebihi
3,000 orang sehari berbanding klinik lain yang kebiasaannya menampung antara 800
hingga 1,000 pesakit sehari.

“Mengambil kira pola kedatangan pesakit, ia dijangka turut menerima pesakit
dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri sekitarnya,” tambahnya.

Dr Mahanim juga berkata dengan terdapatnya klinik berkenaan, Hospital Kuala
Lumpur hanya akan menempatkan klinik-klinik pakar bagi pelbagai jenis rawatan. – WD MY

LEAVE A REPLY