KUALA LUMPUR, 6 April – Lanjutkan…… Waktu operasi Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) yang dilancarkan Selasa lalu akan dilanjutkan dari jam 5 petang kepada 9.30 malam bermula Isnin depan kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Subaramaniam berkata tambahan waktu operasi bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan khidmat pesakit luar di klinik kerajaan itu.

Beliau berkata, ketika ini, masih ramai pesakit luar menggunakan perkhidmatan di Hospital Kuala Lumpur yang sesak dan sudah tidak mampu menampung pesakit luar.

“Kementerian berharap orang ramai boleh mula menggunakan perkhidmatan di klinik kerajaan baharu ini. Lanjutan waktu operasi selaras usaha meningkatkan kecekapan pendaftaran sistem Tele Primary Care (TPC).

“Selepas tiga hari beroperasi, kita mendapat makluman berlaku kes kelewatan pendaftaran TPC, ..ia akan diselesaikan dalam tempoh sebulan. Beri masa kepada petugas mahir penggunaan sistem TPC kerana ia baru dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dua jam di KKKL, hari ini.

KKKL adalah klinik kerajaan terbesar dan yang pertama mengamalkan Konsep Doktor Keluarga di negara ini mula beroperasi di Jalan Fletcher di atas tapak seluas 1.3 hektar.

Pembinaannya bertujuan mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana boleh menampung 1,000 hingga 3,000 pesakit dalam sehari.

Seramai 56 pegawai perubatan ditempatkan di sini dengan 12 perkhidmatan disediakan kepada orang ramai. – WD MY