LUNDU, 12 Feb – Umum….Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menerima peruntukan RM16 juta daripada kerajaan negeri sebagai tambahan kepada peruntukan RM4 juta yang diumumkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, tahun lalu.

Peruntukan tambahan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Openg pada Majlis Mesra Bersama RELA yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, dengan peruntukan tambahan itu, kerajaan negeri Sarawak kini menyumbang sebanyak RM20 juta untuk menyediakan peralatan dan pakaian seragam kepada pasukan sukarelawan berkenaan.

“Kita meneruskan janji yang dibuat oleh Tok Nan sebelum ini kerana kita yakin dengan komitmen RELA untuk bersama membantu dalam pembangunan negeri.

“Saya percaya, RELA terus bersedia dalam apa juga keadaan untuk bersama kerajaan negeri,” katanya.

Abang Johari berkata, dengan keanggotaan mencecah 345,000 orang di negeri ini, RELA memiliki kemampuan untuk membantu kerajaan negeri dan pasukan keselamatan terutama dalam menjamin keamanan negeri ini.

“Menjadi hasrat kerajaan negeri untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan untuk rakyat dan saya yakin RELA akan membantu kita ke arah itu,” katanya. – WD MY