KUALA LUMPUR, 29 Ogos – STATUS….. Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) dan Kolam Biru, bakal mengangkat status ibu negara setaraf dengan bandar raya terkemuka lain di dunia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, projek yang tersenarai dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di Sungai Klang itu, dikenal pasti mampu memberi impak besar kepada daya maju dan tarikan kepada bandar Kuala Lumpur.

Katanya, projek RoL, khususnya Kolam Biru yang berada di kawasan pertembungan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak, diyakini mampu menjadi ikon tarikan pelancong di Kuala Lumpur.

“Ketika melawat kawasan ini pada Februari lalu, saya membayangkan sekiranya tempat ini yang juga tempat bermula segala-galanya dengan Kuala Lumpur, ini tempat paling bersejarah, dijadikan lokasi yang indah dan punyai daya tarikan tersendiri.

“Saya mendapat idea selepas melihat Bandar Stockholm di Sweden. Ikan trout boleh membiak dalam air sungai di bandar itu dan ia membuktikan sesuatu jika kita sanggup membersihkan dan mengindahkan sungai.

“Apa yang saya harapkan, sebagai prasyarat ialah soal penguatkuasaan yang tegas. Denda mereka yang mencemari sungai ini kerana ini adalah warisan kita, sesuatu untuk kita kecapi bersama. Bukan tempat untuk membuang sampah sarap dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek RoL dan Kolam Biru malam tadi.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak dan Pengarah Eksekutif Ekoriver Construction Sdn Bhd, Tan Sri Lim Kang Hoo.

Projek RoL yang mula dilaksanakan pada 2011 terbahagi kepada tiga fasa, iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pengkomersialan serta pelancongan.

Terdahulu, Najib bersama tetamu berjalan dari Jambatan Sultan Abdul Samad yang menghubungkan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dengan Bangunan Sultan Abdul Samad, ke lokasi majlis bersebelahan Bangunan Loke Yew.

Beliau kemudian dipersembahkan dengan pancaran lampu LED berwarna warni serta persembahan pancutan air berlatar belakangkan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, diiringi simfoni lagu Warisan nyanyian Sudirman, lagu tema filem Star Wars dan lagu Negaraku nyanyian Faizal Tahir, selain tembakan bunga api selama hampir lima minit.

Najib berkata, kemajuan keseluruhan projek RoL itu kini sudah mencecah lebih 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

“Bila mereka beritahu projek yang dilancar 2011 dijangka siap pada 2020, saya kata ia terlalu lambat dan mencari idea untuk melihat fasa pertamanya, dan tercetus cadangan ‘membirukan’ sungai ini.

“Malam ini, dengan teknologi baharu, kita saksikan sungai yang warnanya coklat pada waktu pagi bertukar warna biru pada waktu malam bersama kesan kabus menjadikan kawasan ini cukup menarik sekali.

“Dengan adanya tarikan lain, seperti kumpulan buskers, pelukis, kafe dan sebagainya, saya dapat bayangkan adanya kegiatan sedemikian di sekitar kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, projek itu juga akan memberi keuntungan kepada pemilik bangunan dan rumah di sepanjang sungai berkenaan kerana nilai hartanahnya akan melambung tinggi.

Sehubungan itu, katanya, pemilik bangunan terbabit perlu menjaga keadaan premis masing-masing bagi turut sama mengindahkan suasana sekitar sungai berkenaan. – WD MY