CHITTAGONG, 25 FEB – RAMPAS….. Seorang lelaki yang cuba merampas pesawat penumpang semasa dalam penerbangan menuju ke Dubai, ditembak mati komando Bangladesh, hari ini.

Suspek, yang digambarkan pegawai sebagai lelaki Bangladesh berusia 25 tahun, ditembak mati semasa pasukan khas merempuh masuk pesawat terbabit sejurus mendarat di Chittagong.

Pegawai berkata, kesemua 148 penumpang dan anak kapal pesawat Bangladesh Biman BG147 dilaporkan selamat.

Jurucakap tentera Mejar Jeneral Motiur Rahman berkata suspek yang cedera parah disahkan meninggal dunia selepas dia ditangkap.

 

“Dia seorang rakyat Bangladesh. Kami hanya menemui sepucuk pistol daripadanya,” kata Rahman memberitahu wartawan.

Tambahnya, semua penumpang berjaya dipindahkan selepas lapangan terbang ditutup oleh Tentera Darat, Tentera Laut dan polis elit. – WD MY