SERDANG, 4 DisĀ  – Lambang Komitmen……. Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2016 melambangkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan sektor pertanian sebagai sektor yang strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jaminan keselamatan makanan pada hari ini semakin penting apatah lagi dengan bilangan penduduk Malaysia yang akan mencecah 50 juta orang menjelang tahun 2050.

Justeru, katanya, apabila kerajaan merangka Transformasi Negara 2050 (TN50), soal jaminan keselamatan makanan diambil kira oleh kerajaan.

“Kalau hari ini kita import kira-kira RM18 bilion nilai import makanan, maknanya kita alami defisit RM18.1 bilion pada tahun lalu.

“Jika kita tak buat sesuatu yang lebih gigih, angka ini akan menjadi lebih besar dari setahun ke setahun.

“Bila kita tiba pada tahun 2050 nanti, kalau kita tak buat bidang pengeluaran makanan ini sebagai satu bidang yang penting, kita tak mungkin dapat menjamin kecukupan bekalan makanan untuk kita dan anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran MAHA 2016, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek dan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Najib turut bertanya kepada hadirin apakah tanda kalau mahu menjadi sebuah negara maju?

“Negara maju bukan saja infrastruktur (lengkap), bangunan pencakar langit, tetapi kita nak tengok orangnya pun maju.

“Maju bukan sekadar dari segi pendapatan, tetapi maju dari segi fizikal. Kalau kita nak tengok orang Malaysia tahun 2050, semestinya lebih besar dari orang Malaysia tahun 2016, besar erti kata sihat dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Najib turut menggesa golongan muda supaya menceburi bidang pertanian dan menjadikannya sebagai satu kerjaya.

“Kita tak mahu bidang pertanian dilihat sebagai bidang yang tidak ‘glamour’. Kita (hanya) nak bekerja di pejabat berhawa dingin.

“Bila kita mempunyai sikap demikian, maka bidang pertanian akan ditangani oleh generasi yang semakin berumur dan pupus.

“Oleh itu, untuk memajukan bidang pertanian, kita perlu mengamalkan pertanian intensif. Dalam erti kata, kita gunakan teknologi, gunakan ‘multi crop’ bukan ‘single crop’, gunakan amalan terbaik, dapat sebahagian daripada rantaian bekalan yang menetukan harga yang berpatutan.

“Janganlah kalau pengeluaran kita ini katakanlah dapat RM10, petani dapat RM1 saja. Orang lain dapat RM9, ini bukan pulangan adi kepada petani kita,” katanya. – WD MY