KUALA LUMPUR, 10 April – Kompaun…… Sebanyak 502 majikan dikenakan tindakan undang-undang membabitkan kompaun dan denda berjumlah RM356,000 dalam Ops Kesan PERKESO 2017 di seluruh negara bermula 1 April lalu hingga hari ini kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Azman berkata Ops Kesan dilaksanakan bagi mengesan perusahaan yang gagal mendaftar dengan agensi berkenaan.

Katanya, semua majikan yang menggaji seorang atau lebih pekerja wajib mendaftar dengan PERKESO bagi memastikan mereka dilindungi dan mendapat perlindungan insurans.

“Kami mahu memastikan hak pekerja terjaga dan tidak ditipu majikan kerana ramai yang tidak tahu faedah PERKESO jika mereka terbabit dalam kemalangan ketika bekerja,” katanya pada sidang media Ops Kesan PERKESO 2017 di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Direktor Badan Penyelenggara Jaminan Sosial (BPJS) Keternagakerjaan Indonesia, Agus Susanto dan Pengarah PERKESO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Salijan Saigon.

Mohammed Azman berkata, majikan yang didapati tidak mendaftar dengan sewajarnya akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 4 Akta Keselamatan Pekerja 1969 (AKSP) dan Seksyen 5(1) AKSP (Pindaan 2016).

“Majikan yang gagal mendaftar boleh dikompaun antara RM500 hingga RM4,000 manakala jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – WD MY