Kompleks Nasyrul Quran Bakal Jadi Pusat Percetakan Al-Quran Terbesar Di Asia Tenggara – TPM

0
197
KUALA LUMPUR, 21 Mei  – Terbesar……Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kompleks Nasyrul Quran, pusat percetakan Al-Quran terbesar di Asia Tenggara dan kedua terbesar di dunia akan dilancarkan di negara ini dalam masa terdekat bagi melebarkan dan meningkatkan syiar Islam.

Beliau berkata kerajaan berhasrat menjadikan kompleks tersebut sebagai pusat percetakan terulung di dunia.

“Kerajaan melalui pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememangnya mempunyai iltizam dan komitmen yang tinggi dalam menjadikan kompleks tersebut sebagai pusat percetakan terulung di Asia Tenggara dan seluruh dunia.

“Insya-Allah kita akan lihat pusat pencetakan tersebut dilancarkan tidak lama lagi ,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan dan pengurniaan hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA)  ke-59 yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Rancangan membina kompleks berkenaan yang terletak di Putrajaya diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2015.

Kompleks berkenaan dijangka mencetak sebanyak sejuta naskah Al-Quran setahun untuk memenuhi 70 peratus keperluan wakaf dalam negeri dan 30 peratus lagi bagi golongan minoriti Muslim di luar negara.
Ahmad Zahid dalam pada itu berkata kerajaan  komited untuk menterjemah syiar Islam dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara tanpa mengetepikan agama, bangsa dan budaya yang lain.
“Malaysia mengimarah dan memajukan negara melalui konsep maqasid syariah (matlamat syariah) yang diterjemahkan dalam sistem pentadbiran, sosial dan budaya.
“Konsep ini menjadi pengukur kerajaan dari segi kajian saintifik dan kaedah meteorologi dalam melaksanakan pentadbiran berasaskan maqasid syariah,” katanya.
Menyentuh mengenai penganjuran Tilawah, Ahmad Zahid  berkata  ia adalah platform kepada kebersamaan negara-negara  Islam seluruh negara dalam memuliakan Al-Quran yang menjadi pegangan hidup umat Islam.
“Penganjuran ini mampu menjadi nuklues dan pemangkin kesatuan ummah yang lebih akrab. Sesungguhnya, umat Islam wajar untuk menghayati semangat Islam sebenar yang bermula dengan penghayatan Al-Quran,” tambahnya. – WD MY