SEPANG, 5 Okt – KOMPLEKS BARU…… Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata segala urusan berkaitan haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya akan berpindah ke premis baharu iaitu Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula tahun depan.

Menurut beliau, kompleks baharu yang kini dalam fasa akhir pembinaan itu dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa musim haji kali ini adalah tahun terakhir jemaah kita berlepas dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

“Dengan izin Allah, tahun depan kita akan menggunakan Kompleks Tabung Haji KLIA sebagai tempat pengumpulan dan penghantaran jemaah haji,” katanya kepada media.

Mula beroperasi pada 1983, Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya berperanan memudahkan urusan penghantaran jemaah haji ke Tanah Suci pada setiap musim haji di mana semua urusan daftar masuk dibuat di situ.​​​​​​​

​​​​​​​Abdul Azeez berkata perpindahan ke kompleks baharu terletak di lokasi strategik yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit ke KLIA akan membantu mempermudah dan meningkatkan lagi efisiensi TH dalam urusan pengendalian hal berkaitan haji.

Dibina di atas tapak seluas 6.36 hektar, kompleks yang terletak bersebelahan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA itu bakal dilengkapi dengan galeri haji, dewan serba guna, pejabat pentadbiran, pusat konvensyen dan seminar, pusat sukan dan cawangan Bank Islam.

Selain di Kelana Jaya, Selangor, TH kini memiliki empat kompleks haji iaitu di Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kota Kinabalu, Sabah: Kuala Terengganu, Terengganu dan Alor Setar, Kedah.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata surat tawaran menunaikan haji untuk 2018 akan dikeluarkan bermula November depan secara berperingkat sehingga tempoh akhir pada Mei tahun hadapan, manakala kursus haji dijadual bermula seawal Disember ini.

Mengenai lima jemaah haji yang masih dirawat di Hospital Arab Saudi, beliau berkata pihak hospital telah memaklumkan kesemua mereka boleh dibenarkan pulang dalam tempoh sebulan. – WD MY