Kongsi Maklumat Risikan Bagi Tangani Pendatang Asing Libatkan Dua Negara – TPM

0
78

CANBERRA, 8 Mei -Kongsi…… Kerajaan Malaysia dan kerajaan Australia akan berkongsi maklumat risikan bagi menangani isu berkaitan pendatang asing melibatkan kepentingan kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata maklumat risikan itu bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan berikutan isu itu melibatkan kepentingan bersama antara kedua buah negara.

“Kita akan berkongsi maklumat perisikan sebelum keberadaan mereka menjadi pendatang tanpa izin (di Australia) yang  menggunakan Malaysia sebagai transit. Maklumat ini penting meliputi tindakan susulan,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull di Bangunan Parlimen, di sini.

Di bangunan Parlimen itu, Ahmad Zahid turut menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya  Timbalan Perdana Menteri Australia Barnaby Joyce, selain menerima kunjungan hormat Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Peter Dutton, Menteri Kehakiman Australia Michael Keenan dan  Menteri Luar Julie Bishop.

Ahmad Zahid berkata Australia melahirkan kebimbangan berikutan pendatang asing menjadikan Malaysia sebagai transit  sebelum memasuki negara berkenaan.

“Perkara kedua yang dicapai hari ini ialah kita mahu capai tindakan tangani masalah ini dari negara sumber permasalahan itu, kita tidak mahu negara berkenaan bertindak lepas tangan (dalam menangani isu itu),” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata perkara ketiga yang dipersetujui menerusi pertemuannya dengan para pemimpin Australia itu hari ini  ialah cadangan untuk mengadakan persidangan antarabangsa berkaitan pendatang asing dalam usaha menyelesaikan isu itu di peringkat antarangsa.

“UK (United Kingdom) sebelum ini mencadangkan persidangan itu diiadakan supaya negara-negara terlibat (turut serta) dan menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Beliau berkata Malaysia dan Australia bersetuju dan menyokong supaya persidangan itu diadakan di UK dalam mencari usaha penyelesaian lebih konkrit terhadap isu berkenaan.

Mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri Australia,  Ahmad Zahid berkata Turnbull  turut membincangkan mengenai  usaha deradikalisasi warga asing, membanteras keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Beliau (Turnbull) turut berhasrat berkongsi dasar yang dilaksanakan Malaysia, kata Ahmad Zahid.

Pada tengah hari tadi, beliau turut mengadakan pertemuan dan beramah mesra bersama pelajar Malaysia di Canberra.

Pada Selasa (esok), Ahmad Zahid akan berlepas ke Sydney untuk bertemu Gabenor New South Wales, David Hurley.

Beliau juga akan melawat Kolej Pasukan Sempadan Australia diikuti dengan majlis makan malam bersama penuntut Malaysia  sebelum pulang ke Kuala Lumpur. – WD MY