BEIJING, 16 Okt – Kesemua 10 negara anggota ASEAN secara kolektif
menyatakan kesediaan mereka untuk menangani ancaman daripada kumpulan militan
IS, termasuk berkongsi maklumat risik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.

Perkongsian maklumat risik merupakan perkara penting dan ia melibatkan insiden
yang mungkin berlaku setiap minggu.

Katanya kerjasama seperti itu penting bagi mengetahui punca pengeboman di
Bangkok, siapa yang terlibat dan bagaimana ia mungkin boleh menular ke negara
lain di rantau ini.

“Tumpuan turut diberi kepada IS dan bagaimana warga negara kita sendiri di
tiap-tiap negara di Asean buat perjalanan ke Iraq atau Syria.

“Lebih penting lagi apa akan berlaku apabila mereka kembali ke rantau kita,
tidak semestinya negara asal tetapi mungkin kembali ke kawasan yang boleh
menerima militan di rangkaian tertentu di rantau ini,” katanya Hishammuddin.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Tidak Rasmi
Menteri Pertahanan China-ASEAN (10+1) yang bertujuan mempertingkatkan hubungan
strategik dan kerjasama pragmatik antara China dan ASEAN, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata 10 menteri pertahanan ASEAN sedar bahawa kumpulan militan
bukan ancaman keselamatan yang mudah di bawah tanggungjawab polis, sebaliknya
merupakan ancaman pertahanan negara yang memerlukan penglibatan secara kolektif.

Beliau berkata perkara itu yang dibincang di peringkat ASEAN turut dikongsi
dengan China dan negara tembok besar itu menyatakan pendiriannya untuk turut
bersama 10 negara ASEAN menangani keganasan.

Katanya pertikaian wilayah dan maritim khususnya di Laut Cina Selatan turut
dibangkitkan dan negara ASEAN bersetuju mencari penyelesaian secara bijaksana.

Dalam konteks Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Hishammuddin
mengingatkan semua pihak bahawa tugas menteri pertahanan adalah memastikan tidak
ada situasi di tahap meledak atau insiden tidak disengajakan, berlaku antara
pengawal keselamatan, tentera laut dan udara.

“Ini semua tugas menteri pertahanan ASEAN supaya insiden tidak berlaku
sampai tidak dapat dibendung. Saya tengok ini dapat diterima baik oleh semua
pihak dalam menunggu penyelesaian melalui saluran diplomasi,” katanya.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi ADMM, berkata layanan China kepada 10
negara anggota ASEAN itu membuktikan entiti secara kolektif dihormati dan tidak
ada kepentingan geopolitik menjejaskan kepentingan, kedaulatan serta maruah.

“Jangan ingat Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera
Laut Diraja Malaysia tidak tahu. Tetapi hubungan erat Malaysia dengan China,
kita boleh cari jalan penyelesaian secara bersemuka,” katanya.-Sharini Abdulah(WD MY)

LEAVE A REPLY