WASHINGTON, 9 Mac – Bocor…… Kontraktor Agensi Perisikan Pusat (CIA) dipercayai melanggar protokol keselamatan dan menyerahkan dokumen penggunaan alat penggodam agensi itu kepada kumpulan anti-kerahsiaan WikiLeaks, dakwa beberapa pegawai risikan dan penguat kuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Dua pegawai yang enggan mendedahkan identiti berkata, agensi risikan mengetahui mengenai pelanggaran protokol itu sejak akhir tahun lalu yang membolehkan WikiLeaks menerbitkan ribuan muka surat maklumat menerusi laman webnya, kelmarin.

Penggodam CIA boleh memasuki iPhone Apple, peranti yang menggunakan perisian Android dan gajet lain untuk merakam teks atau mesej suara sebelum diubah suai ke dalam bentuk kod menggunakan aplikasi canggih.

Rumah Putih semalam berkata, Presiden Donald Trump menyatakan kebimbangannya mengenai tahap keselamatan yang menyebabkan berlakunya kebocoran maklumat kepada WikiLeaks.

“Sesiapa yang membocorkan maklumat sulit akan didakwa atas tuduhan dengan hukuman paling berat,” kata jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer.

Dua sumber risikan berkenaan dokumen yang diterbitkan mengenai teknik menggodam CIA antara 2013 hingga 2016 itu adalah tulen.

Seorang pegawai yang terbabit dalam siasatan berkata, syarikat kontraktor CIA sudah membuat pemeriksaan bagi mengesan pekerja yang mempunyai capaian kepada bahan diterbitkan WikiLeaks itu.

Katanya, pemeriksaan turut dilakukan ke atas log komputer, emel dan alat komunikasi lain untuk mengesan sebarang bukti dan mencari pihak yang bertanggungjawab.

Dalam kenyataan media, kelmarin, WikiLeaks berkata, CIA hilang kawalan ke atas arkib kaedah menggodam dan maklumat itu disebarkan dalam kalangan bekas kontraktor dan penggodam kerajaan AS tanpa kawal selia.

Katanya, seorang daripada mereka menyalurkan sebahagian kandungan arkib itu kepada WikiLeaks. – WD MY