SEGAMAT, 3 April – Seorang ahli perniagaan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya melanggar babi hutan di Kilometer 70, Jalan Johor Bahru-Seremban, dekat Tenang.

Kejadian itu kira-kira jam 8.45 malam semalam, Anuar Jantan, 39, yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Senggir, dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tercampak daripada kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata mangsa yang memandu berseorangan dari Labis menuju ke rumahnya di Kampung Tekam, dekat sini, dikatakan melanggar seekor babi hutan yang cuba menyeberangi laluan berkenaan.

“Kemalangan itu menyebabkan kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh ke cerun kebun sawit di tepi jalan terbabit. Mangsa dikatakan tercampak keluar sejauh kira-kira dua meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Akibat kemalangan itu kenderaan mangsa rosak teruk di bahagian depan, bumbung dan tepi kiri.

“Mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Segamat untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh anggota keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tekam, kira-kira jam 11 pagi tadi,” katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY