KUALA LUMPUR, 1 Nov – Konvesyen Mini……UMNO bercadang akan mengadakan konvensyen mini bagi mempersiapkan semua jentera penerangan seluruh negara mengenai modus operandi baharu untuk memperjelaskan pelbagai isu kepada masyarakat.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pada PAU 2016 tahun ini, pihaknya inginkan satu kelainan bagi meningkatkan kekuatan jentera penerangan ke tahap lebih tinggi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Cadangan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 hujung bulan ini akan disampaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu berikutan banyak isu timbul secara berterusan menyebabkan ia perlu diolah dan diperincikan supaya berupaya memberi penjelasan yang berkesan kepada masyarakat.

“Konvensyen mini ini akan membuat persiapan kepada semua jentera seluruh negara termasuk Puteri, Pemuda dan Wanita untuk dibekalkan modus operandi penerangan, kaedah dan teknik.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Biro Penerangan UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

“Kita akan pastikan keserangkaian antara jentera tidak terputus seperti didapati sebelum ini, supaya satu kefahaman terhadap sesuatu isu, biarlah diturunkan ke peringkat cawangan dengan bagus.

“Kita sedar ada campur tangan luar dalam urusan politik negara bagi menjatuhkan kewibawaan presiden kita disamping cubaan untuk merampas kuasa. Jadi semua jentera perlu anggap perkara ini satu cabaran yang menjadi fokus gerakan penerangan selepas ini,” katanya. – WD MY