PUTRAJAYA, 11 Mac – Iktiraf….. Program Konvoi Berbasikal Wanita diiktiraf Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai konvoi wanita berbasikal terbesar dengan penyertaan 11,412 peserta hari ini.

Sijil pengiktirafan disampaikan Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Edward, kepada Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Datin Seri Anggraini Sentiyaki, disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Program anjuran Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan itu adalah sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2017 yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata program yang dikhaskan untuk golongan wanita termasuk kanak-kanak perempuan itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat.

“Tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2017 adalah ‘berani untuk berubah’ justeru dengan semangat itu kita jayakan program hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

Program konvoi berbasikal itu membabitkan kayuhan sejauh 10 kilometer (km) dan 25 km di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini. – WD MY