PUTRAJAYA, 28 Feb – Asakan… Kor diplomatik negara masa kini menghadapi tugasan dan cabaran yang sukar berikutan imej Malaysia yang menerima asakan berikutan pembunuhan warga Korea Utara di sini pada 13 Februari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu perjumpaan dengan 10 ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di pejabatnya hari ini, menekankan bahawa imej Malaysia perlu dipulihkan segera.

“Pada masa sama, mereka yang dilantik sebagai Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi ini juga bertanggungjawab mempromosi Malaysia sebagai pihak berkuasa yang paling dipercayai di dunia dalam pengiktirafan pensijilan halal termasuk dalam sektor kewangan dan perkhidmatan.

“Tidak ketinggalan juga promosi sektor pelancongan, selain menguar-uarkan peranan Malaysia dalam kempen anti keganasan global, khususnya kewujudan pusat deradikalisasi dan pusat latihan program pertukaran maklumat keselamatan di sini,” katanya dalam perjumpaan hampir 45 minit itu.

Seramai sembilan Duta Besar dan seorang Pesuruhjaya Tinggi yang dilantik untuk tugasan baharu di serata dunia menyertai perjumpaan dengan Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri. – WD MY