SEOUL, 28 Nov – BELI….. Kerajaan Korea Selatan mengumumkan rancangan untuk membeli dua sistem amaran radar buatan Israel, semalam, dalam usaha memperkukuh pertahanan udara negara itu, daripada ancaman Korea Utara.

Agensi perolehan senjata, DAPA, berkata, keputusan untuk memiliki dua sistem radar Green Pine Block C, yang dibina ELTA Systems, iaitu subsidiari syarikat milik kerajaan, Israel Aerospace Industries itu, diputuskan oleh satu jawatankuasa pemerolehan pertahanan.

Namun, DAPA tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai tempahan itu, tetapi seorang pegawai di kementerian pertahanan berkata ia membabitkan kos 330 bilion won (RM1.22 bilion) dan ia dijangka diperoleh pada awal 2020.

“Projek ini bertujuan mempertingkatkan keupayaan Korea Selatan untuk mengesan dan menjejaki peluru berpandu balistik dari jarak jauh dengan lebih awal,” kata DAPA dalam satu kenyataan, tanpa menyentuh negara jirannya, Korea Utara.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Disember lalu berkata negara itu bakal membeli radar amaran awal tambahan selepas Pyongyang berjaya menguji peluru berpandu balistik antara benua. – WD MY