PUTRAJAYA, 30 Mac – Bebas…. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara dibenarkan kembali ke tanah air dan sudah berlepas dari Pyongyang hari ini sekitar jam 7.45 malam dan dijangka tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 5 pagi esok.

Najib dalam satu kenyataan sebentar tadi, berterima kasih kepada semua anggota kerajaan Malaysia dengan diketuai Kementerian Luar, yang terbabit dalam rundingan bagi membebaskan mereka.

“Saya secara peribadi amat bimbang mengenai perkara ini dan kami bekerja keras di sebalik tabir bagi mencapai kejayaan ini. Banyak cabaran diatasi bagi memastikan kepulangan rakan senegara kita. Keselamatan rakyat kita sentiasa menjadi keutamaan pertama.

“Kita kini akan membenarkan warga Korea Utara meninggalkan Malaysia. Selain itu, selesainya bedah siasat terhadap mayat (Kim Jong-nam) dan penerimaan surat permintaan daripada keluarga mendiang meminta mayat dikembalikan ke Korea Utara, pihak koroner meluluskan pelepasan mayat.

“Kerajaan teguh dalam kepercayaan terhadap prinsip keadilan dan kedaulatan. Penyiasatan polis kita terhadap jenayah serius di tanah air kita akan diteruskan. saya sudah mengarahkan semua tindakan yang boleh diambil dilaksanakan bagi menghadapkan mereka yang bersalah ke muka pengadilan,” katanya.

Tambahnya, selaku Perdana Menteri, beliau amat berterima kasih bahawa semua rakyat Malaysia bersatu bagi mengatasi krisis ini dengan semangat Negaraku, yang membuktikan apa boleh dicapai sekiranya semua bekerjasama sebagai satu pasukan. – WD MY