SEOUL, 2 Mac – Kutuk…. Korea Utara mengeluarkan kenyataan retorik mengutuk latihan perang bersama antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Pyongyang sering meluahkan rasa gusar mereka setiap kali Seoul dan Washington mengadakan latihan perang tahunan dengan menuduh ia latihan bagi menceroboh negara itu.

Latihan tahun ini bermula semalam.

Jurucakap Staf Jeneral Tentera Rakyat Korea yang enggan dikenali berkata, tindak balas daripada Korea Utara adalah lebih hebat berbanding sebelum ini tetapi tidak menyatakan butirannya.

Sementara itu, tentera Korea Selatan menegaskan akan mengambil tindakan tegas bagi menghukum tindakan provokasi Korea Utara.

Latihan bersama bermula dengan latihan lapangan yang akan berlangsung hingga akhir April.

Pelbagai lagi latihan membabitkan peperangan olok-olok menerusi simulasi komputer akan bermula dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Semenanjung Korea secara teknikalnya masih dalam perang kerana Perang Korea pada 1950 hingga 1953 berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya, perjanjian damai. – Wd MY