KUALA LUMPUR, 3 Nov – SARAN…. Pihak Kerajaan dicadangkan untuk mengadakan pertemuan dan berbincang dengan negara sumber pembantu rumah bagi mengurangkan kos penggajian berbanding melaksanakan pengambilan secara terus oleh majikan.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA), Siti Zarina Ismail, berkata ini kerana agensi pembantu rumah negara sumber yang mengawal harga dan kos pembekalan pekerja ke negara ini.

INFO
1. Kos pengambilan secara terus RM3,000 hingga RM4,500
2. Kos agensi berlesen antara RM12,000 hingga RM15,000
3. Kos ejen tidak berlesen antara RM15,000 hingga RM23,000

PUSMA tidak menentukan harga sebaliknya agensi di negara sumberlah yang memainkan peranan
termasuk tidak mematuhi harga siling yang ditetapkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Malaysia dan negara sumber.

“Pengambilan secara terus mengundang risiko kemasukan warga asing secara bebas tanpa saringan kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta tanpa latihan profesional.

“Kita bimbang jika warga asing yang diambil secara terus akan lari dalam tempoh 30 hari Pas Lawatan Kerja Sementara yang diberikan sebelum majikan memohon permit kerja sah.

“Sehubungan itu PUSMA akan menyerahkan kertas kerja berhubung kurangkan kos berkenaan kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Kementerian Dalam Negeri dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, meskipun perbezaan kos antara ejen dan agensi seperti PUSMA dikatakan dapat mengurangkan kos sehingga 50 peratus namun tiada jaminan untuk pembantu rumah dan juga pihak majikan sendiri.

“PUSMA menyokong pengumuman yang dibentangkan semasa Bajet 2018 untuk mengurangkan kos pengambilan secara terus pembantu rumah namun tiada jaminan jika pembantu berkenaan lari atau tidak boleh bekerja atau memiliki latar belakang pengganas serta penyakit berjangkit berbahaya.

“Bagaimanapun pihak PUSMA tidak dipanggil mana-mana pihak untuk berbincang atau memberi pendapat sebelum perlaksanaan pengambilan secara terus sehingga menimbulkan kekeliruan bahawa peranan agensi berlesen turut tidak diambil kira.

“PUSMA turut terima tempias dengan kenyataan berkenaan sedangkan kami agensi berdaftar dibawah Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen dalam memastikan kebajikan majikan dan pembantu rumah terjamin,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kekeliruan orang ramai mengenai perbezaan ejen dan agensi adalah ejen tidak mempunyai lesen dan jaminan manakala agensi berlesen dibawah PUSMA memastikan tiada isu pemerdagangan manusia, penderaan dan lain-lain jenayah berlaku. – WD MY