PUCHONG, 3 Ogos – Ketuai Operasi……. Jabatan Imigresen Putrajaya mengadakan operasi besar-besaran dengan menggempur serentak tiga pusat hiburan di Pusat Bandar Puchong yang berakhir awal pagi tadi.

Ketika serbuan bermula kira-kira jam 11.30 malam itu, semua pekerja asing dan pelayan pelanggan (GRO) berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun sedang leka melayan pelanggan. Rata-rata pekerja asing dan GRO adalah warga Vietnam serta China.

Secara keseluruhan, seramai 110 warga asing diperiksa sebelum 84 didapati ditahan kerana tiada dokumen perjalanan sah, disyaki palsu atau dipinda keterangannya, selain menyalahgunakan dokumen berkenaan. Mereka dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk tujuan dokumentasi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi empat jam yang disertai 50 anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya itu adalah operasi pertamanya selepas dilantik menerajui jabatan berkenaan pada 1 Ogos lalu.

“Operasi ini bertumpu ke premis yang menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan rata-rata pekerja tiada dokumen perjalanan sah. Kebanyakan mereka yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan lain bagi membanteras kegiatan tidak bermoral itu.

“Apa yang kita tumpukan selepas ini adalah mana-mana premis yang menjalankan kegiatan tidak sama dengan apa yang ditulis dalam lesen perniagaan, akan dikenakan tindakan serta merta,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY