KUALA LUMPUR, 11 Mei – Berbakti….. Kewujudan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M)  atas dasar menjadikan UMNO sebuah parti bersifat lebih inklusif, akan terus menerapkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.

Presidennya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata KP1M yang lahir melalui Biro Putera UMNO di bawah Pergerakan Pemuda, bersedia untuk terus merancakkan gerak kerja melahirkan lebih banyak sukarelawan tanpa mengira agama, bangsa mahupun perbezaan fahaman politik.

“Budaya tolong-menolong diamalkan dalam UMNO jauh melebihi apa-apa sempadan warna politik terutama apabila berlaku sebarang bencana alam yang memerlukan tindakan segera kita menghulurkan bantuan.

“Ahli UMNO khususnya generasi muda terus dilatih untuk menjiwai budaya kesukarelawanan dengan mendekati mereka yang memerlukan bantuan secara konsisten.

Inikan didikan yang wujud sekian lama menerusi Biro Putera UMNO yang menjadi asas kepada KP1M,” kata Abdul Azeez yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO sempena Ulang Tahun UMNO ke-71 yang  disambut hari ini.

Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling berkata beberapa misi kemanusiaan yang berjaya dilaksanakan oleh KP1M dan Biro Putera UMNO membuktikan parti itu tetap teguh selama tujuh dekad dalam memperjuangkan bangsa di negara ini.

Misi kemanusiaan yang pernah dijalankan oleh KP1M termasuklah misi menyelamatkan rakyat Malaysia di luar negara apabila berlaku bencana serta misi kemanusiaan di dalam mahupun luar negara.

“Kita sudah berjaya laksanakan misi kemanusiaan di lebih 40 negara, antaranya di Indonesia, Somalia, Jepun, Pakistan, Australia dan Mesir,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata kejayaan paling manis dalam melaksanakan misi menyelamat oleh KP1M adalah semasa mereka berjaya membawa pulang 7,241 pelajar Malaysia ke tanah air melalui Ops Piramid ketika berlaku ketegangan politik di Mesir. – WD MY