PUTRAJAYA, 23 APRIL –  SEDIA….. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah bersedia sepenuhnya melaksanakan subsidi petrol bersasar dan hanya menunggu senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pembayaran subsidi akan dilaksanakan selepas kementeriannya memperoleh senarai akhir dari sekretariat BSH yang akan dijadikan data asas kepada penyaluran bantuan berkenaan.

“Data itu sudah berada di peringkat akhir kerana kita mahu penerima subsidi bersasar nanti hanya golongan yang benar-benar layak. Sekretariat BSH pada bila-bila masa saja akan berkongsi data dengan pihak kementerian, yang mana layak kita akan kekalkan dan tidak layak, dikeluarkan,” katanya.

Bercakap demikian pada program dialog bersama media di sini hari ini, Saifuddin berkata apabila subsidi petrol bersasar dilaksanakan kelak, pemberian subsidi akan dimasukkan ke dalam akaun penerima.

“Difahamkan, sekretariat BSH sudah membuat rundingan dengan pihak bank supaya semua penerima BSH mempunyai akaun bank bagi memudahkan pemberian subsidi itu nanti.

“Sebanyak 10 peratus penerima BSH sebelum ini, kebanyakannya di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak, tiada akaun bank dan menerima bantuan berkenaan secara tunai. Bagaimanapun, apabila kita mahu laksanakan subsidi petrol bersasar, kita mahu semua penerima mempunyai akaun bank,” katanya.

Saifuddin berkata, sekiranya pemberian subsidi petrol bersasar berjaya, kementerian berhasrat memperluaskan kaedah itu kepada barangan keperluan pengguna yang disubsidi oleh kerajaan termasuk minyak masak, tepung dan gas petroleum cecair (LPG).

“Sekiranya pemberian subsidi itu memberi penjimatan kepada kerajaan, kementerian berhasrat memperluaskan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40),” katanya. – WD MY