KUALA KANGSAR, 5 Julai – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata jumlah keseluruhan kompaun pula ialah RM270,870
dengan jumlah rampasan bernilai RM353,171.

Jumlah berkenaan sebanyak 635,876 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh
negara dan 1,545 notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan Ops Catut fasa II bermula 1 April hingga 5 Jun.

“Penekanan juga diberikan terhadap pemeriksaan cross-border oleh
anggota-anggota penguatkuasa. Setakat ini sebanyak 11,791 pemeriksaan
cross-border telah dijalankan,” katanya kepada media selepas melakukan
tinjauan di Bazar Ramadan Arena Square di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi
yang melakukan pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 176 kes menerusi 70,899
pemeriksaan pada operasi tersebut dan diikuti Sabah sebanyak 46 kes.

Mengenai jumlah keseluruhan aduan yang diterima oleh KPDNKK, Hasan berkata
sebanyak 18,556 aduan diterima bagi tempoh 1 Jan hingga 3 Julai lepas.

Katanya bulan Januari mencatatkan sebanyak 1,282 aduan diikuti Februari
(1,280), Mac (1,625), April (9,281), Mei (2,857), Jun (2,074), Julai (157).

Hasan berkata isu harga barang merupakan isu yang sentiasa menjadi
keutamaan KPDNKK.

Beliau berkata isu tersebut sengaja diada-adakan oleh pelbagai pihak bagi
menimbulkan rasa kebimbangan rakyat.

“Sebenarnya pengguna tiada masalah tetapi yang menjadi masalah adalah
sebahagian kecil peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga
barangan dengan alasan GST,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 2,100 anggota penguat kuasa di seluruh negara
sentiasa memeriksa, memantau dan menyiasat setiap jenis perniagaan bagi
memastikan peniaga mematuhi undang-undang.

“Kita tidak mahu peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga
barang dan caj bagi perkhidmatan dengan mengambil keuntungan tinggi secara
tidak munasabah,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY