GEORGETOWN, 25 Nov – RAMPAS….. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas pelbagai beg jenama tiruan bernilai lebih RM21,000 dalam serbuan terhadap sebuah premis perniagaan dekat Jelutong di sini, hari ini.

Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK Pulau Pinang, Mohd Fakhrie Abdullah, berkata dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, pihaknya menemui beg tangan wanita Gred A membabitkan pelbagai jenama terkenal yang dipercayai dibawa masuk dari China.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati beg yang ditemui di dalam kotak itu tidak memiliki sebarang jenama, selain dipercayai akan ditampal label jenama terkenal mengikut kehendak pelanggan.

“Pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan adalah pemborong yang menerima tempahan pelanggan melalui beberapa laman niaga terkenal. Malah, siasatan mendapati setiap beg yang dijual itu dipercayai dipasarkan melalui laman web niaga pada harga yang jauh lebih murah daripada pasaran.

“Harga bagi setiap beg yang dijual bermula dari RM200 hingga RM700 mengikut jenama termasuk Bonia, LV, Christian Dior, Prada dan Coach,” katanya.

Mohd Fakrie berkata, pihaknya percaya syarikat berkenaan akan memasarkan semua produk beg tangan jenama terkenal menerusi laman niaga pada harga tawaran istimewa bagi menarik perhatian pelanggan khususnya wanita yang meminati beg tangan berjenama.

“Justeru, kita menahan seorang lelaki berusia 40-an untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap unit barang atau tiga tahun penjara,” katanya. – WD MY