KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kementerian Perdagangan dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu terus memantau harga barang dan
perkhidmatan bagi dua bulan akan datang bagi melihat perubahan harga di
pasaran susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Perkara itu antara yang dipersetujukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas
Menangani Kos Sara Hidup Rakyat 2015 yang dipengerusikan Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini.

Langkah itu perlu bagi memastikan usaha berterusan dijalankan untuk
menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat serta mengenal pasti langkah
bersepadu dan holistik bagi menangani isu tersebut.

“Sejak GST dilaksanakan 1 April lepas, terdapat pelbagai isu yang menjadi
topik hangat khususnya perubahan terhadap harga barang atau perkhidmatan yang
menimbulkan kerisauan rakyat dan menjadi viral di media massa dan media sosial.

“Ini disebabkan perubahan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan
perubahan kadar cukai dari Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada GST serta
tindakan sesetengah peniaga yang memasukkan GST ke dalam struktur harga sedia
ada bagi mengaut keuntungan tinggi,” kata sekretariat mesyuarat itu dalam satu
kenyataan hari ini.

Menurut sekretariat itu, terdapat beberapa faktor lain yang dikenal pasti
mempengaruhi ketidakstabilan harga barangan antaranya upah buruh dan penggajian,
permintaan dan penawaran serta kadar pertukaran mata wang yang memberikan
sedikit kesan kepada urusan jual beli barangan import.

Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan tindakan tegas dikenakan terhadap
mana-mana peniaga, persatuan atau kumpulan perusahaan yang menjadikan GST
sebagai alasan menaikkan harga barang serta perkhidmatan bagi mengaut
keuntungan.

Kerajaan juga memperkenalkan sistem Social Safety Network (SSN) yang
bersepadu dan komprehensif serta meningkatkan program peningkatan pendapatan,
pengurusan kewangan dan hutang, menurut sekretariat itu. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY