KUALA NERUS, 25 Ogos – UMUM….. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang bersara bulan depan, akan diumumkan pada 4 September ini kata┬áTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang merangkap Menteri Dalam Negeri, berkata beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis untuk menentukan pengganti Khalid.

Beliau berkata, nama calon pengganti Khalid kemudian akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk mendapat perkenan Baginda.

“Khalid tidak berhajat untuk menyambung perkhidmatan. Kerajaan Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan terima kasih kepada beliau yang berkhidmat dengan cemerlang sebagai Ketua Polis Negara dan lebih 40 tahun bersama Polis Diraja Malaysia.

“Sepanjang perkhidmatan, beliau melakukan banyak transformasi di Bukit Aman dan membantu dalam menterjemahkan misi KDN bagi mengurangkan indeks jenayah di peringkat negara sehingga kita mencapai penurunan 47 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Khalid mengesahkan akan bersara bulan depan, selepas 40 tahun berkhidmat dalam PDRM.

Khalid memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1976 dan pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan pada 2005, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan seterusnya Ketua Polis Selangor pada Jun 2007.

Kerjayanya berkembang selepas dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada 2010 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada April 2011 menggantikan Tan Sri Husin Ismail, yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar, yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.