HILIR PERAK, 17 Dis – Beri Laporan Penuh……..Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan diminta memberi perincian mengenai 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki menerima dana asing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata buat masa ini beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

“Saya akan minta butirannya daripada IGP (Khalid) siapa 20 NGO yang sedang disiasat itu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas merasmikan Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan untuk Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di Teluk Intan hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam yang menyatakan kira-kira 20 daripada 50,000 NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah disiasat sejak November.

NGO itu disiasat kerana disyaki menerima dana yang diragui daripada individu serta organisasi luar negara.

Ini berikutan perkembangan siasatan terhadap pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang dipercayai melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen dengan menggunakan dana daripada Open Society Foundation (OSF) yang dipengerusikan George Soros. -WD MY