KUALA LUMPUR, 3 NOV – NAFI …….. Dakwaan berlaku salah laku polis terhadap tahanan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah tidak berasas sama sekali dan tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata jika benar pihak yang membuat tuduhan itu mempunyai rakaman litar tertutup (CCTV) mengenai perkara itu, mereka diminta membawanya semula ke mahkamah.

“Berkaitan beberapa kenyataan serta tuduhan umum yang dibuat peguam dan ahli politik tertentu terhadap perbuatan yang kononnya menyalahi undang-undang oleh pegawai polis ke atas tahanan kes LTTE, saya dengan tegasnya di sini membuat penafian.

“Saya berdiri teguh atas penjelasan yang diberi oleh barisan pegawai saya bahawa dakwaan itu adalah tidak berasas sama sekali dan amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, beberapa portal melaporkan dakwaan berlakunya kes lima daripada 12 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dikaitkan LTTE didera dan diseksa.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan berlakunya kejadian tahanan SOSMA didera dan diseksa sepanjang ditahan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata KDN telah menyemak dakwaan itu dengan Abdul Hamid serta pegawai terbabit dan mendapati dakwaan itu tidak benar.

Abdul Hamid berkata, apa yang perlu difahami ialah fakta bahawa dakwaan salah laku polis itu dibuat oleh mereka selepas ia dijalankan secara tertutup (in camera) di kamar hakim.

“Patutnya semua pihak mestilah menghormati proses undang-undang ini dan tidak membuat tuduhan melulu di khalayak,” katanya.

Abdul Hamid telah merujuk perkara itu kepada pihak Peguam Negara dan menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya. – WD MY