GEORGE TOWN, 2 Dis – Bubar…… Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
menasihatkan kerajaan DAP Pulau Pinang agar membubarkan Badan Peronda Sukarela
(BPS) dan menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mampu menjaga
keselamatan masyarakat di negeri itu.
Beliau berkata seperti penubuhan Unit Peronda Sukarela (PPS) yang diharamkan
sebelum ini, BPS juga mungkin akan diharamkan kerana penubuhannya bercanggah
dengan undang-undang.
“Kita semua tahu PPS telah disahkan sebagai satu pertubuhan tidak sah, jadi
saya nasihatkan kerajaan negeri supaya bubarkan BPS yang baharu ini kerana tak
guna kalau ada, kita akan haramkannya juga,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata anggota BPS sebaliknya disaran agar menyertai ‘Community
Policing’ atau sebarang pertubuhan sedia ada yang berdaftar dengan Pendaftar
Pertubuhan (ROS) dan bernaung di bawah PDRM.
Katanya polis juga mengenal pasti penasihat BPS yang disifatkan sebagai
individu yang tidak layak untuk memberi nasihat dalam aspek keselamatan.
“Kalau nak beri nasihat, panggil sahaja ketua polis negeri yang dapat
memberikan nasihat lebih baik tentang undang-undang dan hal-hal keselamatan.
“Bila suka-suka buat pertubuhan, ahli-ahlinya ada yang tidak disemak,
jadilah macam-macam seperti pukul orang, peras ugut orang. Kita nak elakkan
perkara ini daripada berlaku,” kata Khalid.
Beliau memaklumkan indeks jenayah di Pulau Pinang setakat ini tahun ini
turun sebanyak enam peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, justeru orang
ramai tidak perlu risau dan menyerahkan tugas menjaga keselamatan negara kepada
PDRM.
Pada 13 Nov lepas, Ketua Menteri Lim Guan Eng melancarkan penubuhan BPS di
bahagian pulau negeri ini dan pada 12 Nov lepas pasukan itu dilancarkan di
sebelah Seberang Perai.
Kerajaan DAP Pulau Pinang menubuhkan PPS pada 2009 yang kemudian
diisytiharkan haram oleh pihak berkuasa pada 2014 kerana tidak mendaftar dengan
Pendaftar Pertubuhan. – WD MY