KUALA LUMPUR, 28 OGOS – SERIUS….. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, menyifatkan dakwaan kemungkinan wujud tindakan berniat jahat hingga menjejaskan kelancaran operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu, sebagai amat serius.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihak atau individu yang didapati mensabotaj sistem rangkaian KLIA hingga terganggu selama empat hari bermula Rabu lalu, bakal berdepan hukuman amat berat.

“Sebarang laporan yang diterima akan disiasat secara terperinci kerana dakwaan wujudnya sabotaj amat serius.

“Jika terbukti (berlaku sabotaj), hukuman yang menanti amat berat.

“Kes masih di peringkat siasatan dan laporan diterima akan diselidik daripada setiap sudut,” katanya.

Semalam, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membuat laporan polis berhubung gangguan rangkaian yang berlaku di KLIA bermula Rabu hingga Sabtu minggu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang pengurus kanan Bahagian Teknologi Maklumat MAHB.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, dilaporkan berkata, masalah gangguan sistem dialami di KLIA minggu lalu berpunca daripada kegagalan rangkaian.

Susulan itu, MAHB dalam kenyataan media memaklumkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA bermula 21 Ogos lalu disebabkan tindakan berniat jahat.

Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA berikutan insiden terbabit. – WD MY