KUALA LUMPUR, FEB 14 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan 100 barang terpilih ditawarkan pada harga lebih murah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M 2.0) menjelang April tahun ini, kata menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Malah, jika sasaran yang ditetapkan dapat dicapai, jumlah barangan akan ditambah menjelang hujung tahun ini. Hamzah berkata, “Jika sasaran itu tidak mampu dicapai tiada guna kita tingkatkan sasaran lebih banyak. Kita mahu pastikan ia dicapai dulu untuk memastikan harga yang ditawarkan murah dan barang berkualiti,”.

Untuk makluman, sejak KR1M 2.0 dilancarkan pada 4 Feb lepas, terdapat 50 barang berjenama terpilih ditawarkan di 51 KR1M seluruh negara antaranya di Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Menurut Hamzah lagi, sejak dilancarkan terdapat peningkatan positif hasil dari jualan iaitu sebanyak 7 peratus dengan penambahan jumlah barang serta pengenalan penjualan barang KR1M 2.0 melalui kedai-kedai runcit.

Beliau berkata,Kementerian akan terus mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama┬ápihak pengeluar dan pembekal tentang strategi untuk memastikan barang dan harga yang ditawarkan benar-benar memenuhi kehendak dan keperluan pengguna. – WD MY