KR1M2.0 Sasar Lebih 300 Pembekal Barangan Kata Hamzah

0
44

PUTRAJAYA, 13 Nov – TARIK….. Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata menyasarkan penyertaan antara 200 hingga 300 syarikat sebagai pembekal bagi barang yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan selain syarikat multinasional (MNC) dan syarikat besar tempatan, pihaknya juga sedang berusaha bekerjasama rapat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk turut menjadi pembekal di KR1M 2.0.

“KR1M 2.0 ini akan dilancarkan sebelum penghujung tahun ini. Bezanya dulu Mydin (Mohamed Holdings Bhd) sahaja yang mengawal. Sekarang tidak, semuanya boleh jadi pembekal.

“Kita memberikan peluang kepada mereka untuk gunakan program ini dalam menambah dan meningkatkan jumlah bekalan produk, sekali gus boleh sampai sasaran sehingga ke kawasan pedalaman.

“Contohnya bagi susu dan lampin bayi. Pastinya banyak jenama kerana banyak pembekal dan pengeluar untuk dipasarkan di KR1M 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan PraPelancaran Karnival Jualan Mega 2017.

Beliau berkata, menerusi KR1M 2.0, barang keperluan asas akan dijual pada harga lebih murah manakala barang keperluan lain pada harga lebih berdaya saing berbanding tempat lain.

“Bagi barangan keperluan asas sebagai contoh gula lebih murah 10 peratus. Kalau harga sekarang RM2.95 sekilogram, di KR1M menjadi RM2.75, walaupun hanya RM0.20 sen lebih murah, ia tetap sesuatu yang besar.

“Selain itu, sebahagian produk atau barang yang dijual nanti akan tetap menggunakan logo KR1M dan 1Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Karnival Jualan Mega 2017 yang akan diadakan di Dataran Amanjaya, Ipoh, Perak dari 22 hingga 26 Disember ini menyasarkan kehadiran sehingga 500,000 pengunjung.

“Karnival ini menggabungkan beberapa program KPDNKK yang berimpak tinggi. Antaranya Sambutan Hari Francais Kebangsaan, Hari Pengguna Kebangsaan, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Kempen Back to School.

“Ia juga memberi peluang kepada pengguna berbelanja pada harga berpatutan, merancakkan kegiatan ekonomi domestik yang kita sasarkan kutipan jualan sekitar RM15 juta menerusi karnival ini,” katanya. – WD MY